fb fb fb fb fb

PRU15: Hanya perlu buat sekali permohonan permit kempen walkabout

(Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Hazani Ghazali/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 11 November- Permohonan permit untuk kempen secara walkabout hanya perlu dibuat sekali sahaja sepanjang tempoh berkempen dalam kawasan yang ditandingi calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, permohonan bagi kedua-dua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu tertakluk kepada perkara di bawah Subseksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya (Akta 5).

Katanya, permohonan permit hanya perlu dikemukakan di salah satu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang berkaitan, jika kawasan ditandingi calon melibatkan dua atau lebih daerah pentadbiran PDRM.

“Permohonan permit ini adalah bagi membolehkan PDRM mengambil langkah-langkah yang perlu, bagi memastikan calon dapat berkempen dengan lancar,

"Calon juga perlu memastikan supaya sebarang pertembungan antara parti politik dapat dielakkan, serta tiada provokasi lisan atau fizikal timbul semasa program kempen itu berlangsung," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Subseksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya (Akta 5) memperuntukkan supaya calon membuat permohonan permit bagi setiap kali penganjuran aktiviti perjumpaan, perhimpunan, pertunjukkan, hiburan atau ucapan awam dan syarahan yang dibuat secara terbuka untuk tujuan kempen semasa pilihan raya.


(Permohonan permit hanya perlu dikemukakan di salah satu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang berkaitan,
jika kawasan ditandingi calon melibatkan dua atau lebih daerah pentadbiran PDRM/BERNAMA)

 

Media Baharu