fb fb fb fb fb

PRU15: Parlimen Padang Serai menyaksikan pertandingan enam penjuru

(FOTO FAIL)

KULIM, 24 November - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) P.017 Padang Serai bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon dari Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Warisan, Pejuang dan Bebas.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah berkata Parlimen Padang Serai akan menggunakan 46 pusat mengundi biasa yang mengandungi 230 tempat mengundi atau saluran dan satu pusat mengundi awal yang mempunyai dua saluran.

(Calon-calon bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Padang Serai)

"Pakatan Harapan (PH) akan diwakili Mohamad Sofee Razak manakala Pejuang akan diwakili, Hamzah Abd Rahman.

"Datuk C. Sivaraj akan mewakili Barisan Nasional (BN), Mohd Bakhri Hashim akan mewakili Warisan, Datuk Azman Nasruddin mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Anandha AK mewakili calon BEBAS," katanya ketika mengumumkan calon-calon yang akan bertanding bagi Parlimen Padang Serai di Pusat Penamaan Calon, Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, di sini.

PRU15 Parlimen Padang Serai yang dijadual diadakan serentak pada 19 November lalu terpaksa ditangguhkan ke 7 Disember ini selepas salah
seorang calonnya, Mendiang M. Karupaiya dari Pakatan Harapan meninggal dunia pada 16 November lalu iaitu tiga hari sebelum hari Pengundian, akibat masalah kesihatan.

Tambah Abdul Bari, daftar pemilih tambahan bulan Ogos 2022 yang dikemaskini sehingga 9 Oktober lalu akan digunakan untuk pilihanraya parlimen Padang Serai.

Ini melibatkan 133,867 orang pemilih yang terdiri daripada 133,776 pengundi biasa, 76 orang terdiri daripada anggota Polis dan 15 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Tarikh pengundian awal ditetapkan pada 3 Disember.

Media Baharu