fb fb fb fb fb

PAS pertimbang pelawaan sertai Kerajaan Perpaduan

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 25 November- Parti Islam Se-Malaysia PAS akan mempertimbangkan tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Perikatan Nasional PN untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi satu kenyataan berkata perkara tersebut akan dibincangkan bersama rakan-rakan komponen PN di samping turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada PAS dan PN dalam PRU15 yang lalu.

"Mengenai tawaran Perdana Menteri kepada PN untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, PAS mengucapkan terima kasih seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN.

"PAS turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

"PAS yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ihsan serta turut mengutamakan konsep federalisma yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata,"katanya menerusi kenyataan itu.

Tambahnya, PAS mengucapkan syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana kemelut kepimpinan negara pasca PRU15 tidak berterusan dan dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai.

"PAS menerima dengan reda dan hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmatnya yang tersendiri,"menurutnya.

Jelas Datuk Seri Takiyuddin, PAS turut menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Yang di-Pertuan Agong di atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Baginda berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal perlantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.


(Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan)

Media Baharu