fb fb fb fb fb

PRU15: Liputan media adil, komprehensif bukti amalan demokrasi

(FOTO HIASAN)

KOTA BHARU, 19 November- Peranan media tempatan dalam melaporkan berita secara komprehensif, adil dan terbuka sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuktikan amalan demokrasi di negara ini terus subur.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata berdasarkan laporan yang diterima, semua agensi media kerajaan dan swasta dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara berkesan.

Selain, kerjasama baik semua pihak termasuk parti politik yang bertanding membantu memudahkan sebarang bentuk pelaporan dibuat.

"Ini jarang-jarang kita lihat dulunya...setiap parti berpeluang muncul di kaca televisyen aliran perdana untuk menyatakan apakah tawaran mereka kepada rakyat menjelang pilihan raya dan pada saya, saya anggapkan itu satu perkembangan yang baik.

"Di mana saluran rasmi dan tidak rasmi dan juga media baharu dapat membantu memperkukuhkan amalan demokrasi dalam negara kita," katanya.

(Tan Sri Annuar Musa)

Beliau ditemui media selepas selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mokan, Peringat, di sini hari ini.

Annuar yang juga penyandang kerusi Parlimen Ketereh turut mengucapkan terima kasih kepada pengamal media kerana komited melaksanakan tugasan serta memberi sumbangan yang besar kepada negara untuk memastikan kelancaran sepanjang proses PRU15.

Media Baharu