(Petugas memberikan bantuan kecemasan kepada pengundi yang
meninggal dunia di Pusat Pengundian SMK Sultan Ismail bagi Parlimen Pulai/FOTO SPR Johor)
JOHOR BAHRU, 19 November - Dua pengundi warga emas di daerah ini disahkan meninggal dunia ketika sedang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pagi tadi.
Kedua-dua wanita warga emas itu berusia 85 tahun.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, kematian mengejut melibatkan mangsa yang dikenali sebagai Tuminah Ambiah yang belum sempat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lit Terk, Paloh bagi Parlimen Sembrong pada 10.21 pagi.
Katanya, kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di tempat kejadian mengesahkan kematian warga emas itu.
"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai hospital selepas ambulan tiba di tempat kejadian," katanya melalui kenyataan hari ini.
Manakala seorang lagi mangsa dikenali sebagai Sh Juhara Syed Mohamad meninggal dunia selepas mengundi dan mengalami sesak nafas.
Menurut pemerhati petugas saluran, dalam kejadian pada 9.30 pagi itu mangsa hadir ke saluran 1 dalam keadaan tidak sihat namun ingin meneruskan pengundian di SMK Sultan Ismail di sini untuk mengundi bagi Parlimen Pulai.
(Petugas SPR dan KKM memberikan bantuan kecemasan sebelum pengundi disahkan meninggal dunia
di Pusat Pengundian SJKC Lit Terk/FOTO SPR Johor)
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan tiga kematian berlaku pada pilihan raya kali ini.
Dua kematian di Johor manakala satu di Kelantan ketika mengundi pada sebelah pagi.