KUALA NERANG, 19 November- Kecacatan fizikal sejak lahir tidak menghalang seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU), menunaikan tanggungjawab terhadap negara.
Mohamad Saiful Azri Mohd Rosli, 23, dari Kampung Kuala Janing, Kuala Nerang dibawa oleh ibunya, Normala Ahmad, 42, ke pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang.
Menurut Normala, anaknya mengalami kecacatan fizikal sejak lahir.
Walaupun hanya mampu berbaring atas kerusi roda kerana hilang upaya fizikal, Mohamad Saiful Azri boleh melihat, mendengar dan memahami apa yang diperkatakan oleh orang sekeliling.
Beliau membantu mengundi untuk anaknya dan perkara itu dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Ini kali pertama Mohamad Saiful Azri mengundi, kakak tanya dia dulu dan dia berikan isyarat mata, kemudian senyum. Walau dia macam ini tapi dia faham, cuma tidak boleh bercakap," katanya di sini.
(Normala menemani anaknya menunaikan tanggungjawab mengundi
di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang)
Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Terap, Datuk Abd Ghani Zainudin turut menyantuni Mohamad Saiful Azri.
Beliau turut memuji sikap ditunjukkan ibu bapa anak muda berkenaan kerana sanggup bersusah payah membawa anak OKU mereka ke pusat pengundian bagi mengundi demi tanggungjawab terhadap negara tercinta.