fb fb fb fb fb

Pengundian di Parlimen Dungun lancar

DUNGUN, 19 November- Keadaan di Pusat Pengundian Parlimen Dungun masih terkawal dan tiada sebarang rusuhan dari mana-mana parti.

Demikian menurut calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Dungun, Nurhisham Johari ketika ditemui pemberita di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Pintasan.

Nurhisham turut mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh penduduk di sekitar Dungun.

Beliau juga berharap pilihan raya kali ini dapat memberi peluang kepadanya untuk memberi kerjasama dan dapat membantu penduduk dalam semua aspek.


(Nurhisham mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh penduduk di sekitar Dungun)

Sementara itu, calon PAS Parlimen itu, Wan Hasan Mohd Ramli adalah antara yang terawal tiba mengundi di Sekolah Agama Sultan Ismail Dungun, kira-kira pukul 8.15 pagi.

Ghazali Ismail yang merupakan calon Bebas pula tiba di Pusat Pengundian Sekolah Menengah Tengku Intan Zahara kira-kira pukul 9.15 pagi.

Manakala calon Pejuang, Noraisah Hasan pula memaklumkan beliau akan bergegas ke Gombak, Selangor untuk mengundi di SK Taman Koperasi Polis Fasa 2.

Pada PRU14, PAS memenangi kerusi Parlimen Dungun dengan memperolehi 40,080 undi yang menewaskan calon BN, Datuk Din Adam yang memperolehi 27,731 undi manakala bagi calon PKR, Abdul Rahman Yusof memperolehi sebanyak 6,833 undi.

Media Baharu