SUNGAI PETANI, 15 November - Polis Kedah menerima aduan membabitkan kes pecah stor, koyak poster dan penafian memberi wang sepanjang tempoh berkempen.
Ketua Polis Sungai Petani, ACP Zaidy Che Hassan berkata, kejadian pecah stor berlaku di Sungai Petani itu melibatkan parti politik yang bertanding dan siasatan kes sedang dijalankan.
Siasatan kejadian sebenar pecah stor tersebut melibatkan laporan kehilangan barang makanan yang disimpan di stor berkenaan.
Sementara itu, berhubung kejadian koyak poster, kes dilaporkan berlaku di Gurun.
Katanya, polis menerima laporan wakil calon menafikan berhubung pemberian wang ketika berkempen.
Kesemua kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
(Calon-calon dan penyokong PRU15 dinasihat berkempen secara berhemah)
"Calon-calon dan penyokong PRU15 dinasihat berkempen secara berhemah, bersabar dan tidak menimbulkan provokasi antara parti. Ikut peraturan ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas menunaikan tanggungjawab undian awal di Sekolah Latihan Asas Kepolisan Daerah Kuala Muda di sini.
Seramai 473 anggota dan pegawai polis melaksanakan undian awal di sekolah itu melibatkan 143 pengundi dari Parlimen Sungai Petani manakala 330 pengundi adalah dari Parlimen Merbok.