KULAI, 14 November- Kempen secara bersemuka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih relevan, walaupun ada sebahagian calon memilih berkempen menerusi media sosial.
Ini kerana, pengundi dapat mengenali calon-calon bertanding dengan lebih dekat.
Calon juga berpeluang memperkenalkan diri secara terperinci kepada pengundi.
Menurut calon Barisan Nasional Parlimen Kulai, Chua Jian Boon, walaupun penggunaan media sosial mampu meraih undi daripada pengundi baharu dan muda, cara tradisional tidak boleh diketepikan.
Lebih-lebih lagi untuk menarik hati pengundi veteran.
"Memang budaya kita kalau bersemuka, jumpa pengundi dan merayu undi mereka, mereka akan rasa lebih didekati.
"Sekurang-kurangnya pengundi dapat lihat personaliti calon dengan lebih dekat," katanya semasa sarapan pagi bersama pengundi di Warong Lehan di Bukit Batu, di sini.
(Calon Barisan Nasional Parlimen Kulai, Chua Jian Boon (duduk kiri) pada program
sarapan pagi bersama pengundi di Warong Lehan di Bukit Batu)
Perkara itu turut dipersetujui calon Pakatan Harapan Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dan calon Perikatan Nasional, Datuk Tan Chin Hock.
"Kempen secara bersemuka masih sangat relevan kerana menerusi ‘walkabout’ atau ceramah kami berpeluang mendekati pengundi dan yang paling penting, pengundi boleh merasai keikhlasan kami," jelas Nie Ching ketika ditemui di Restoran Tai Chiang, Saleng.
(Calon Pakatan Harapan Parlimen Kulai, Teo Nie Ching beramah mesra bersama penduduk)
"Pada pandangan saya, kempen secara bersemuka memang penting, namun pada masa sama pengundi yang mengundi kali pertama lebih memilih media sosial untuk mendapatkan info seperti manifesto calon," menurut Chin Hock.
(Calon Perikatan Nasional, Datuk Tan Chin Hock turun padang mendekati pengundi)