fb fb fb fb fb

PRU15: GPS tampil 14 muka baharu, 15 penyandang sebagai calon

KUCHING, 3 November - Gabungan Parti Sarawak, (GPS) akan mengetengahkan 14 muka baharu dan mengekalkan 15 penyandang sebagai calon yang akan bertanding bagi 31 kerusi Parlimen  pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS meletakkan Presiden Parti Rakyat Sarawak Datuk Joseph Salang Gandum untuk merampas semula kerusi Parlimen Julau selain penyandang kerusi parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri berpindah ke Parlimen Santubong.

Manakala Penyandang Kerusi Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin dipertanggungjawab untuk memastikan kerusi berkenaan menjadi milik GPS kali ini.

"Pemilihan calon adalah dalam kalangan individu yang berpengalaman, golongan muda serta yang berumur di peringkat pertengahan," katanya dalam satu majlis di sini hari ini.

Senarai calon gabungan dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

(Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
bersama barisan calon yang akan bertanding pada PRU15)

Daripada 14 muka baharu, 2 merupakan calon wanita bagi kerusi Parlimen Batang Sadong iaitu Rodiyah Sapiee dan Datuk Seri Doris Sohpia Brodi untuk kerusi Sri Aman.

Sementara itu, antara penyandang dikekalkan, Datuk Seri Richard Riot Jaem bagi Parlimen Serian, Datuk Seri Fadillah Yusof - Petra Jaya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi -Kapit, Datuk Henry Sum Agong untuk Parlimen Lawas dan Datuk Hasbi Habibollah bagi kerusi Parlimen Limbang.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu akan bertanding di 14 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak 7 kerusi, Parti Rakyat Sarawak 6 kerusi dan Parti Demokratik Progresif di 4 kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon 5 November dan pengundian awal pada 15 November ini.

Media Baharu