(Gambar fail/FOTO Facebook Annuar Musa)
KOTA BHARU, 3 November - Meskipun namanya digugurkan daripada senarai calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun Tan Sri Annuar Musa bersikap terbuka dan berlapang dada merestui pencalonan Ketua Puteri UMNO Ketereh, Marzuani Ardilla Ariffin untuk bertanding di kerusi Parlimen Ketereh.
Annuar yang menjadi Ahli Parlimen Ketereh sejak 2008 turut menasihatkan semua jentera pilihan raya Parlimen Ketereh supaya tidak menutup bilik gerakan dan patah semangat.
“Pesan saya pada semua petugas pilihan raya...jangan gelabah, jangan tutup bilik gerakan, jangan cepat patah semangat. Kita ikuti perkembangan dengan sabar dan tabah. Setiap perbuatan mesti didahulukan dengan berfikir panjang.
“Kita ikuti perkembangan dengan tenang. Jangan lebarkan perpecahan terutama dalam kalangan rakan seperjuangan dan umat Islam. Adakala kita disalahertikan, adakala kita difitnah dengan fitnah yang memilukan.
“Namun, kekallah pada kebenaran dan kejujuran. Insya-Allah, ada hikmah di sebaliknya dan ganjaran di kemudian hari," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
(Annuar Musa hadir ke Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan hari ini untuk melihat
proses pengisian borang calon-calon Barisan Nasional/FOTO Facebook Annuar Musa)
Tambahnya, Marzuani turut menghubunginya ketika dipanggil ke majlis pengumuman calon di WTCKL kelmarin.
Katanya, Marzuani turut meminta pandangannya kerana perlu mengisi borang pencalonan hari ini.
“Jawapan saya konsisten, teruskanlah seperti biasa, sempurnakan semua urusan terlebih dahulu,” katanya.
Pada PRU14, Annuar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh dengan meraih majoriti 4,626 undi menewaskan calon Pas, Wan Ismail Wan Jusoh dan calon PKR, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Annuar memperoleh undian sebanyak 25,467, Pas (20,841) dan PKR (6,799).