KUALA LUMPUR, 3 November- Gabungan calon muda dan berpengalaman yang diumumkan parti-parti politik bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disifatkan cukup menarik dan mengujakan terutama bagi pemerhati politik.
Menurut Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Nordin senarai calon yang diumumkan menunjukkan perkara dikehendaki dalam sistem politik negara sedang berlaku.
(Dr Noor Nirwandy Mat Nordin)
Jelasnya, dinamik sistem politik harus berlaku dengan gabungan calon segar dan berpengalaman untuk menunjukkan kemampuan kepimpinan mereka selain dapat terus mewarnai politik negara.
"Diharap juga gabungan-gabungan yang belum memperkenalkan calon terus memperkenalkan calon yang lebih muda dan bertenaga dengan gabungan lama, calon-calon politik yang lebih senior berpengalaman demi untuk memastikan kestabilan dan memastikan ancaman mendatang itu dapat dilihat dengan cara yang lebih berbeza.
"Persepsi berbeza berbanding kepada persepsi biasa yang mungkin dilihat oleh calon-calon yang telah mewarnai politik Malaysia seberapa lama yang mungkin.
"Jadi di sini saya rasa kemahuan dan kehendak kita ada golongan anak muda yang akan mengundi, kita ada golongan baharu yang akan mengundi sudah tentunya ini akan mengakibatkan satu bentuk perubahan pola pengundian dan memangkinkan satu bentuk cara pengundian yang baharu...kepentingan calon-calon yang segar, yang baharu dalam mewarnai parti politik Malaysia amat dialukan," katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas menghadiri program terbitan RTM di Angkasapuri.