(Khairy pada Majlis Bersama KJ di Parlimen Sungai Buloh)
SUNGAI BULOH, 3 November- Khairy Jamaluddin tekad untuk melakukan misi sukar menawan Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Beliau menegaskan akan berjuang habis-habisan di parlimen Sungai Buloh bagi merebut kembali kerusi yang dikuasai parti pembangkang selama tiga penggal.
"Kali ini saya datang dengan harapan walaupun mempunyai sedikit peluang untuk menang. Walaupun kawasan kita kalah dengan lebih 20,000 majoriti tapi saya percaya dan yakin kalau kita bersatu dan bekerja kuat, kita dapat meyakinkan pengundi dan dapat tawan Sungai Buloh pada 19 November."
Khairy turut mengakui sudah lama tidak gemuruh dan berasakan seolah-olah seperti kali pertama bertanding pilihan raya.
Ini berikutan rekod kemenangannya selama tiga penggal hanya di satu kawasan sahaja iaitu Rembau, Negeri Sembilan.
Namun, perasaan itu beransur hilang sebaik melihat sambutan menggalakkan ketika hadir Majlis Bersama KJ di Parlimen Sungai Buloh (P107) di pejabat UMNO Bahagian Sungai Buloh.
"Alhamdulillah sambutan daripada BN Sungai Buloh sangat baik dan saya sangat terharu dengan sokongan yang diberikan.
"Walaupun sebelum ini saya calon daripada kawasan lain tetapi kehadiran saya diterima dengan seadanya daripada pimpinan tempatan," jelasnya ketika ditemui pemberita pada Majlis Bersama KJ di Parlimen Sungai Buloh.
(Khairy ditemui pemberita RTM di Pejabat UMNO Sungai Buloh)