ROMPIN, 7 Disember- Seramai kira-kira 3,000 pengundi berdaftar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pontian di Rompin, menganggap Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Dewan Negeri (DUN) Tioman, satu tanggungjawab.
Pengundi PRU15 DUN Tioman, Salasiah Mat Noor, 80 tahun berkata sejak layak mengundi, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab itu.
"Setiap kali pilihan raya diadakan, saya akan tetap keluar mengundi. Mengundi salah satu tanggungjawab untuk kita memilih," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Bagi Tok Batin Kampung Bukit Serdang, Hajat Taman berkata dia telah mengajak penduduk kampung agar keluar mengundi beramai-ramai.
"Saya telah memaklumkan kepada saudara- mara dan penduduk kampung untuk keluar mengundi," katanya.
(Pengundi PRU15 DUN Tioman, Salasiah Mat Noor, 80 tahun berkata sejak
layak mengundi, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab itu)
Dalam pada itu, petugas Jalinan Rakyat bagi pusat pengundian SK Pontian, Biah Karim, 67 tahun berkata hari pengundian yang ditetapkan pada hari bekerja mengakibatkan sebahagian anaknya tidak dapat pulang menunaikan tanggungjawab mereka.
"Tidak semua anak saya dapat pulang mengundi kerana kekangan kerja," katanya.
Semua pengundian bagi PRU15 untuk DUN berkenaan dibuka pukul 8.00 pagi dan ditutup pada pukul 6.00 petang ini.
Proses penjumlahan undi dan pengumuman keputusan dijangka dibuat kira-kira pukul 8.00 malam ini di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah.