BERA, 16 November- Kajian dikeluarkan oleh badan-badan bebas, yang mendakwa Barisan Nasional (BN) ketinggalan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dilihat sebagai propaganda dan perang psikologi pihak tertentu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta rakyat agar tidak terpengaruh dan berpandukan kajian itu semata-mata.
"Jangan kita terpengaruh, ini merupakan perang psikologi pihak tertentu untuk menarik pengundi, khusus golongan atas pagar yang masih belum membuat keputusan," katanya.
(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)
Beliau bercakap dalam sidang media selepas menghadiri majlis sembang santai bersama penduduk setempat di Dewan Orang Ramai Mengkarak Stesen Bera, Pahang.
Ismail Sabri mengulas beberapa laporan daripada badan bebas dan pemerhati yang mendakwa Barisan Nasional ketinggalan dalam perebutan kerusi Parlimen berbanding parti lawan.