(Papan poster wajah Ismail Sabri dan Dr Mashitah di Kampung Gelong Air,
Mukim Gunong ada kesan terbakar)
KOTA SETAR, 16 September - Polis sedang mengesan individu yang melakukan perbuatan khianat dengan membakar poster kempen wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Kedah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Kejadian berlalu di Kampung Gelong Air, Mukim Gunung, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat petugas BN pada pukul 3.00 petang, sebaik menyedari poster itu terdapat kesan bakar.
"Unit forensik telah melakukan siasatan di tempat kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pelaku," jelas ACP Ahmad Shukri.
Tambahnya, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membakar.
Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun yang juga wakil kepada calon BN, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata perbuatan khianat seumpama itu tidak sepatutnya berlaku dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
“Semua pihak perlu matang dan tidak melakukan sebarang provokasi,” kata Abdul Muthalib.
(Foto hiasan)