fb fb fb fb fb

PRU15: Calon-calon komited bangunkan Parlimen Tangga Batu

TANGGA BATU, 14 November - Produk hasil tani keluaran Tangga Batu, Melaka berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong berikrar untuk merealisasikan perkara itu seterusnya mencipta nama Tangga Batu sebagai hub pengeluaran produk tani utama negara.

Kawasan tersebut terkenal dengan keluaran hasil padi dan juga mangga ‘Delite’ yang diusahakan di Kampung Gelam.

"Ini merupakan satu permulaan yang baik kerana untuk setiap kawasan kita dia memang ada produk dia yang membawa ciri-ciri tempatan dan kawasan ini memang dah tersedia ada lah ada tanaman ini habnya, caranya ialah macam mana nak membantu ia untuk promosi bukan sahaja ke pasaran domestik dan juga kita kata ke pasaran yang lebih luas, saya juga sarankan kepada pengusaha ini sekiranya mereka mempunyai kita kata 'volume' yang besar mereka juga boleh mempertimbangkan macam mana kita kata menghasilkan produk-produk yang berkaitan dengan 'mango delites'," kata beliau pada sidang media selepas sesi dialog bersama pesawah dan pekebun di Kampung Gelam, di sini.

 
(Foto fail)

Lim menggariskan aspek pertanian sebagai keutamaan seperti menjaga kebajikan pesawah dan pekebun, selain komited membantu aspek pemasaran produk hingga ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) Bakri Jamaludin pula mahu membawa pembangunan berteraskan pendigitalan di kawasan Tangga Batu agar kemudahan itu memberi faedah kepada golongan muda di kawasan itu.

Jelas beliau, pendigitalan Tangga Batu bukan sahaja dapat memodenkan kawasan itu, ia juga dapat memberi pelbagai peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Selain PN, calon Pakatan Harapan (PH) Tangga Batu, Profesor Madya Rusnah Aluai berharap Tangga Batu dapat menjadi satu hub pendidikan sekali gus melahirkan lebih ramai generasi yang cerdas minda dan berilmu.

Media Baharu