fb fb fb fb fb

11 syarikat tempatan sertai misi EAM ke China secara maya

KUALA LUMPUR, 14 November - Sejumlah 11 syarikat tempatan akan menyertai misi Pecutan Eksport Maya (EAM) ke China secara maya anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Menerusi satu kenyataan, MATRADE memaklumkan inisiatif tersebut merupakan kesinambungan sokongannya dalam membantu pemulihan pasca COVID-19 bagi perusahaan kecil dan sederhana tempatan.

Misi yang turut mendapat kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta SME Bank ini akan berlangsung pada 16 dan 17 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata EAM boleh dijadikan platform alternatif untuk menembusi pasaran dengan memanfaatkan penglibatan pemain pasaran berprofil tinggi dan berkualiti yang mencari peluang perniagaan baharu.


(Foto fail)

China yang merupakan salah satu destinasi eksport utama negara, menawarkan peluang perniagaan yang besar merentasi pelbagai industri.

Perdagangan antara Malaysia dan China berkembang 18.5 peratus kepada RM360.56 bilion dari Januari hingga September tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sebagai usaha meneroka lebih banyak peluang perdagangan dengan China, MATRADE akan terus menganjurkan sesi padanan perniagaan melibatkan pengeksport tempatan dan pembeli berpotensi melalui platform maya.

Media Baharu