CAMERON HIGHLANDS, 5 November- Kerajaan negeri Pahang yang diterajui Barisan Nasional (BN) Pahang yakin, jumlah undi majoriti akan meningkat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menerusi pencapaian terkini yang dicapai oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, inisiatif yang dicetuskan oleh kerajaan negeri telah memberi manfaat dalam membantu rakyat terutama selepas menghadapi tempoh sukar ketika pandemik COVID-19 dengan penyaluran bantuan bersasar.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata berdasarkan rekod lepas, kerajaan negeri juga telah berjaya meningkatkan kutipan hasil dan juga mengurangkan jumlah hutang kepada kerajaan Persekutuan.
"Saya juga sangat yakin bahawasanya imej kerajaan negeri bertambah baik dan semakin baik. Kita boleh lihat berdasarkan rekod lepas seperti hutang kepada kerajaan Persekutuan telah jauh berkurangan. Kemudian, kutipan hasil terus meningkat tanpa membebankan rakyat begitu juga, bantuan kebajikan kepada rakyat negeri Pahang," kata Wan Rosdy kepada RTM ketika ditemui di Cameron Highlands.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga sentiasa prihatin terhadap nasib yang dialami rakyat terutama ketika mereka ditimpa musibah seperti banjir dan bencana alam dengan segera menyalurkan sumbangan untuk meringankan beban mereka.
(Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail beramah mesra bersama rakyat Pahang pada Majlis Penyampaian
Bantuan Prihatin Pahang kategori Pertanian untuk golongan petani dan juga penternak/Foto FB Menteri Besar)
Jelasnya, inisiatif yang dilaksanakan adalah berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan negeri yang diuruskan dengan baik sekali gus dapat mengembalikan semula manfaat tersebut kepada rakyat.
Setakat ini, kerajaan negeri telah menyalurkan RM77.95 juta dalam bentuk bantuan dan program kebajikan kepada rakyat Pahang merentasi segenap generasi sehinggalah kematian akibat COVID-19.