(Foto hiasan)
KUALA LUMPUR, 19 November- Rakyat Malaysia yang layak mengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini, dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bagi menentukan parti atau gabungan yang diberikan mandat membentuk kerajaan baru di peringkat Persekutuan dan tiga negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Seramai 20,853,681 daripada keseluruhan 21,173,638 pemilih berdaftar akan membuat pilihan masing-masing mulai 8.00 pagi hingga 6.00 petang di Semenanjung Malaysia dan 7.30 pagi sehingga 5.30 petang bagi pengundi di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Sejumlah 38,348 saluran disediakan di 8,958 pusat mengundi seluruh negara bagi memudahkan proses itu.
Selasa lalu, proses pengundian awal dilaksanakan di 970 saluran di 578 pusat pengundian dengan 94.72% atau 212,961 pengundi yang melibatkan anggota keselamatan dan pasangan menunaikan tanggungjawab mereka.
Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu bagi, tiga hari selepas Bajet 2023 dibentangkan di Parlimen.
PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya diadakan serentak dengan PRU ke-15 selepas tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.
Pilihan raya kali ini menyaksikan gabungan utama iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti-parti lain mengharapkan sokongan kira-kira 1.4 juta pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun buat pertama kalinya layak menentukan kepimpinan negara.
(Foto hiasan)