KUALA LUMPUR, 15 November - Seramai 224, 828 orang pengundi awal menjadi kumpulan pertama menjalankan tanggungjawab bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah bermula secara rasmi pada pukul 8 pagi ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam berkata, jumlah itu terdiri daripada 117,473 anggota tentera dan pasangan serta 107,355 anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).
Sebanyak 578 pusat pengundian awal dibuka di seluruh negara antaranya melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kem-kem tentera, dengan sejumlah 970 saluran.
"Bagi tujuan ini, Pusat Mengundi Awal yang telah ditetapkan SPR akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang, namun terdapat beberapa Pusat Mengundi Awal akan ditutup lebih awal.
"SPR turut menyarankan kepada pengundi awal yang positif Covid-19 untuk berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal nanti,” katanya menerusi kenyataan media.
Proses pengundian awal turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding. Di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian secara live streaming menerusi Facebook SPR di beberapa Pusat Mengundi Awal yang terpilih.
"Kertas-kertas undi awal tidak akan dikira pada hari pengundian awal dan kesemua peti undi akan disimpan di lokap-lokap balai polis untuk jagaan selamat," katanya lagi.
Kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada 19 November ini bermula pukul 4.00 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing.
Untuk itu, SPR dalam kenyataan semalam menasihatkan pengundi agar membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018/03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.