TUARAN, 15 November - Kerusi DUN Sulaman (N12) menyaksikan saingan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan berlangsung pada 29 November.
Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor dicabar oleh empat calon lain selepas pencalonan mereka disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tuaran, Ibrahim Terki.
Empat pencabar lain ialah Dr Shahnon Rizal Thaijuddin dari Barisan Nasional (BN), Moktar Hussin (Parti Warisan), Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah) dan Tiaminah@Siti Aminah Ele (Perikatan Nasional).
Datuk Seri Hajiji mempertahankan kerusi DUN Sulaman dengan majoriti 3,099 undi dalam saingan tiga penjuru pada PRN Sabah ke-16.