JOHOR BAHRU, 2 Mac - Ceramah dan syarahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor tidak boleh diadakan melebihi pukul 12 tengah malam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan hari ini turut menetapkan ceramah dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.
Namun ceramah, syarahan dan kempen dibenarkan di dalam dan perkarangan pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi.
Manakala, jumlah kehadiran pula tidak melebihi 100 atau 50% kapasiti ruang mengikut ruang.
(Calon BN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan menggunakan Tik Tok sebagai medium untuk berkempen)
Menurut SPR pindaan Prosedur Operasi Standard (SOP) itu berkuat kuasa serta-merta dan dibuat berdasarkan cadangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan pencegahan COVID-19 bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam," menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, SPR menetapkan ceramah, syarahan dan kempen pada PRU Dewan Negeri Johor hanya boleh diadakan hingga 10 malam.