PUTRAJAYA, 8 Mac - Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor kini membenarkan penceramah untuk membuka pelitup muka ketika menyampaikan ceramah atau syarahan semasa berkempen.
Menerusi satu kenyataan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan SOP pencegahan COVID-19 terkini itu yang dibuat berdasarkan cadangan pindaan dan tambahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurut SOP terbaharu itu, penceramah perlu terus memakai semula pelitup muka selepas selesai menyampaikan ceramah atau syarahannya.
(Gambar fail)
"Berdasarkan SOP berkenaan, semua yang hadir ceramah, syarahan atau kempen, hendaklah sentiasa memakai pelitup muka serta mengekalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara individu.
Bagi aktiviti mesyuarat parti, SOP itu menyatakan semua individu yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa, dan menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, selain aktiviti bersalaman adalah dilarang," menurut kenyataan itu.
SPR memaklumkan pindaan pada SOP pencegahan COVID-19 itu berkuat kuasa serta-merta.
SPR menetapkan hari pengundian PRU Dewan Negeri Johor pada 12 Mac dengan pengundian awal akan berlangsung hari ini.