(Muhammad Fauzi ketika meninjau proses mengundi awal di Kem Majidee Batu Pahat)
BATU PAHAT, 8 Mac - Proses pengundian awal membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka selesai menjelang pukul 3 petang nanti.
Menurut Panglima 3 Divisyen Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim jangkaan tersebut berdasarkan jadual yang ditetapkan di setiap kem terlibat.
"Apa yang kita laksanakan adalah secara teratur mengikut entiti-entiti di dalam tentera, makna setiap yang dipanggil 'company' itu lebih kurang dalam 100 lebih disusun mengikut masa-masa tertentu, jadi tidak akan datang serentak," katanya.
Beliau ditemui ketika meninjau proses mengundi awal di Kem Majidee Batu Pahat, di sini pagi tadi.
(Muhammad Fauzi ketika ditemubual di Kem Majidee Batu Pahat)
Seramai 676 anggota dan pasangan dijadual melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih bagi N24, Dewan Negeri Senggarang.
Selain Kem Majidee, turut terlibat adalah 9 lagi kem termasuk KD Sultan Ismail bagi tentera laut dan Kem Bukit Lunchu bagi tentera udara.
Mengikut daftar pemilih, 10,955 anggota tentera dan pasangan akan mengundi awal, namun hanya 10,367 yang dapat hadir disebabkan faktor lain termasuk positif COVID-19.