JOHOR BAHRU, 8 Mac - Lebih separuh pengundi awal dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi mencecah 51% setakat 12 tengah hari tadi.
Sementara itu, proses undi awal berjalan lancar termasuk di Dewan Perumahan IPD Segamat bagi Dewan Negeri N.02.
Bersesuaian keadaan semasa pandemik COVID-19, aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) menjadi keutamaan.
(Sekitar undi awal di Dewan Perumahan IPD Segamat)
Pengundi perlu melalui saringan kesihatan di khemah yang diuruskan petugas Kementerian Kesihatan sebelum melangkah masuk ke dewan untuk menjalankan tanggungjawab.
Khemah Tempat Mengundi Khas turut disediakan bagi individu yang bergejala atau sedang menjalani kuarantin.
Proses sanitasi diadakan dua jam sekali manakala untuk di Khemah Tempat Mengundi Khas pula sanitasi dilakukan dengan lebih kerap.
Sebanyak dua saluran dibuka untuk anggota polis dan pasangan mengundi di pusat Undi Awal ini.
Di Balai Polis Setia Indah, Johor Bahru lebih 95% warga PDRM keluar mengundi setakat 11 pagi tadi.
Keseluruhannya, terdapat 186 pengundi berdaftar.
Bagi pengundi yang bergejala COVID-19, tempat mengundi khas disediakan.
Petugas Kesihatan turut melakukan pemantauan bagi memastikan pematuhan SOP diamalkan, selain kerja sanitasi dijalankan daripada semasa ke semasa.
Manakala di Markas Pasukan Polis Marin, Wilayah Dua, Johor Bahru, pengundian awal melibatkan 1,152 pengundi dengan dua saluran dibuka.
Antara yang mengundi Komander PPM Wilayah Dua, ACP Muhd Zailani Abdullah.