fb fb fb fb fb

PRU Dewan Negeri Johor: Sebarang aktiviti berkempen termasuk merayu undi tamat 11.59 minit malam ini

(FOTO BERNAMA)

JOHOR BAHRU, 11 Mac - Sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi tidak dibenarkan selepas tengah malam ini.

Ia termasuk di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Ingatan itu dikeluarkan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi satu kenyataan.

"SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi. Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan itu akan diambil tindakan undang-undang," katanya.

Beliau turut mengingatkan majikan supaya tidak menghalang pekerja keluar mengundi pada PRU Dewan Negeri Johor esok, selaras peruntukan Seksyen 25 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak. Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang telah diwartakan.

"Namun, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir," menurutnya.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menjalankan semakan peralatan mengundi bagi proses pengundian esok.

Menurut Ikmalrudin, semakan itu untuk memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian lengkap dan berkeadaan baik.

Peralatan tersebut telah diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi bagi setiap Saluran Mengundi.

"Sebanyak 1,021 Pusat Mengundi dan 4,638 Saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian dengan 49,290 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian.

"Seramai 2,539,606 orang pengundi bakal mengundi esok dan SPR berharap semua pengundi dapat keluar menjalankan tanggungjawab mereka," tambah kenyataan itu.

Media Baharu