JOHOR BAHRU, 26 Februari - Proses sanitasi antara yang wajib dilakukan sebagai salah satu Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat mencegah penularan COVID-19 pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor ke-15.
Ketika proses penamaan calon yang berlangsung pagi tadi, operasi sanitasi dilakukan petugas lengkap berpakaian perlindungan peribadi (PPE).
Bagi kerusi Dewan Negeri N09 Gambir, kerja sanitasi di Dewan Serbaguna Bukit Gambir dibuat sebanyak dua kali iaitu sebelum dan selepas proses penamaan calon.
(Proses sanitasi di Pusat Penamaan Calon, Dewan Serbaguna Bukit Gambir)
Malah calon, pencadang dan penyokong yang datang menyerahkan borang pencalonan perlu terlebih dahulu menjalani ujian COVID-19 di khemah saringan kesihatan sebelum memasuki dewan.
"Untuk SOP kali ini kita mengikut sebagaimana yang ditetapkan SPR, hanya calon, pencadang dan penyokong dibenarkan masuk. Sekiranya bergejala mereka tidak dibenarkan masuk dan akan diasingkan di khemah yang disediakan," demikian menurut Ketua Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya, Nuriswandi Asmuni.
Dalam pada itu, amalan sama turut dipraktikkan di Dewan Negeri N7 Bukit Kepong.
"Kami lakukan sanitasi awal dan dibantu pihak Kementerian Kesihatan. Saya lihat penjarakan fizikal dan SOP dipatuhi oleh semua," kata Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon N07 Bukit Kepong, Abdul Rahman Selamat.