fb fb fb fb fb

PRU Dewan Negeri Johor: 239 calon layak bertanding

JOHOR BAHRU, 26 Februari - Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor menyaksikan sebanyak 239 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata tiada pencalonan yang ditolak setelah proses penamaan calon berakhir pukul 10 pagi tadi.

"Daripada 239 calon yang bertanding, 202 merupakan calon lelaki dan 37 wanita. Seramai 56 masing-masing adalah calon BN dan PN, Pakatan Harapan (30), Pejuang (42), PKR (20), Bebas (16), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (7), Parti Warisan (6), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (4), dan masing-masing satu mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM)," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor selepas selesai proses penamaan calon hari ini.

Abdul Ghani berkata calon tertua pada pilihan raya ini berusia 71 tahun iaitu daripada Perikatan Nasional (PN) di Dewan Negeri Bukit Permai.

Manakala calon termuda berumur 26 tahun di Dewan Negeri Mengkibol mewakili BN dan Tangkak diwakili (Pejuang).

(Sidang media oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh/BERNAMA)

Sementara itu, SPR dalam kenyataan memaklumkan, 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) telah ditubuhkan untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen.

"Calon-calon hendaklah membayar deposit bahan kempen pilihan raya serta tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti yang diwakilinya.

"Bahan kempen yang boleh digunakan seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster hendaklah mengandungi nama dan alamat pencetak dan penerbitnya kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon yang bertanding.

"Bahan kempen yang mengandungi perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan," menurut kenyataan itu.

SPR turut memaklumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan PRU Dewan Negeri Johor telah diluluskan dan akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses perjalanan pilihan raya.

Ia meliputi proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

Maklumat lanjut mengenai SOP berkenaan boleh diperoleh di portal spr.gov.my.

Media Baharu