KUANTAN, 18 Februari- Peniaga kedai makan diberi amaran supaya tidak mengenakan harga melampau sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor.
Sekiranya ingkar, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid mengingatkan mereka iaitu peniaga bakal berdepan tindakan tegas.
Jelasnya, pergerakan orang ramai akan bertambah sepanjang tempoh kempen (hujung bulan ini) dan sekiranya ada peniaga yang mengambil kesempatan, pengguna diminta membuat aduan.
"Jadi kalau tidak ada aduan kita tidak tahu, bila ada aduan dan aduan itu dinyatakan secara jelas, kita akan pergi siasat bukan nak terus ambil tindakan.
"Kita siasat benar atau tidak aduan tersebut contohnya dulu, air batu kosong sampai seringgit atau dua ringgit tak patut kita siasat, tanya sebab apa kalau boleh beri alasan yang munasabah mungkin tidak ada isu kalau alasan tidak munasabah kita akan keluarkan kompaun," katanya selepas melakukan tinjauan harga barangan keperluan asas di sini.
Tambahnya, pegawai KPDNHEP akan melakukan pemantauan sebagaimana ketika pilihan raya di Melaka dan Sarawak baru-baru ini selain berharap peniaga bersikap lebih bertanggungjawab serta tidak mengambil kesempatan.
"Sama ada pilihan raya atau tidak ada pilihan raya kita sama sahaja jika berlaku pencatutan kita akan ambil tindakan, memang kadang-kadang peniaga mana-mana tempat pun apabila ada orang ramai, peniaga ambil kesempatan. Kami berharap peniaga dan juga pengusaha semasa pilihan raya Johor supaya tidak menekan dan tidak mengambil kesempatan. Sekarang kita berada dalam keadaan semua rakyat susah," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon, manakala hari mengundi ditetapkan pada 12 Mac depan.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan KPDNHEP telah bersedia memastikan bekalan ayam dan telur mencukupi menjelang Ramadan dan sudah pun mengambil langkah perlu bagi memastikan tidak berlaku isu kekurangan bekalan.