JOHOR BAHRU, 17 Februari- Tiada mana-mana parti politik lain yang menyatakan hasrat untuk bergabung dengan Parti Warisan Sabah, WARISAN untuk bertanding semasa Pilihan Raya
Umum, PRU Dewan Negeri Johor ke -15, setakat ini.
Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, fokus utama beliau kini adalah untuk mengukuhkan parti.
Beliau turut menegaskan perjuangannya bersama-sama rakyat, untuk berkhidmat walaupun berdepan pelbagai situasi.
"Kita nak pastikan kita perkuatkan rumah kita dulu, kita tidak boleh pergi rumah orang lain."
"Kalau pergi rumah orang lain, rumah kita kalau atap dinding tidak siap, tangga tidak ada macam mana kita nak pergi rumah orang lain, nanti dia datang ke rumah kita robohlah," kata Shafie.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Program Jelajah Warisan ke Johor di Johor Bahru.
Sementara itu, WARISAN sudah mengenalpasti kerusi serta calon yang bakal bertanding dan akan diumum dalam tempoh terdekat.
Datuk Seri Shafie turut memberi bayangan akan bertanding di DUN Permas.
Diminta mengulas mengenai desas-desus bekas Ketua Bahagian BERSATU Tebrau, Mazlan Bujang, mahu menyertai WARISAN, jelasnya, Mazlan sudah beberapa kali menemuinya untuk memberi pandangan mengenai politik.
Beliau juga tidak menghalang mana-mana individu untuk menyertai WARISAN.