PUTRAJAYA, 18 Februari- Kementerian Pendidikan (KPM) akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya meminimumkan penggunaan sekolah menengah sebagai pusat mengundi PRU Dewan Negeri Johor ke-15.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata sebanyak 151 sekolah menengah akan digunakan sebagai pusat mengundi pilihan raya itu pada 12 Mac depan.
Katanya, perbincangan itu juga bagi memastikan tiada penglibatan bilik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semasa proses mengundi.
"Pendirian kita di peringkat kementerian adalah supaya sekolah menengah tidak digunakan namun kita sedar ada akta yang membolehkan SPR mengambil sekolah-sekolah ini untuk digunakan dalam pilihan raya sekiranya didapati perlu jadi kita bincang dengan SPR agar meminimumkan penggunaannya.. ambil sekolah rendah dan meminimumkan penggunaan sekolah menengah," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Yayasan Didik Negara di sini.
Tambahnya, "jika digunakan sekalipun, tidak digunakan bilik-bilik yang dikhaskan untuk peperiksaan kerana bilik-bilik tersebut telah disusun mengikut indeks nama murid berdasarkan nombor giliran dan sebarang gangguan pada aturan tersebut boleh memberi satu implikasi besar."
(Datuk Dr Radzi Jidin berucap merasmikan Pelancaran Yayasan Didik Negara di Putrajaya)
Dalam perkembangan berkaitan, KPM juga memohon pertimbangan SPR supaya guru-guru yang terlibat peperiksaan SPM, dikecualikan daripada menjadi petugas PRU Dewan Negeri Johor.
Sebelum ini, KPM telah menyatakan pendirian supaya sekolah menengah tidak digunakan sebagai pusat mengundi PRU Dewan Negeri Johor kerana tidak mahu segala persediaan peperiksaan SPM yang telah disusun terganggu.
Mengulas mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) pula, SOP bagi peperiksaan SPM yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 29 Mac ini sama seperti tahun lalu dan mengikut arahan semasa Kementerian Kesihatan.