(Suasana di Pusat Mengundi Sekolah Agama Taman Bukit Mewah Kempas)
JOHOR BAHRU, 12 Mac - 'Teruja mengundi pertama kali'. Itu reaksi sebilangan pengundi pertama kali yang selesai mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Agama Taman Bukit Mewah Kempas, di sini hari ini.
Bagi Lee Ke Wen, 22 tahun, beliau bersemangat keluar mengundi dan mahu menjadi antara pengundi terawal menunaikan tanggungjawab itu.
"Ini peluang pertama kali bagi saya untuk mengundi, sangat teruja kerana sebagai warganegara Malaysia ini adalah hak saya untuk memilih calon yang dapat memberikan kita kehidupan lebih baik pada masa depan," katanya.
(Lee Ke Wen)
Perkara sama turut dikongsikan Mohd Hairul Hakim Zainal Abidin.
"Perasaan saya sememangnya sangat gembira kerana telah melakukan tanggungjawab dan semestinya ini satu pengalaman yang baharu," menurut beliau.
(Mohd Hairul Hakim Zainal Abidin)
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) N.47 Kempas, Datuk Ramlee Bohani selesai mengundi di pusat pengundian ini pukul 9.30 pagi.
"Alhamdulillah hari ini lihat perjalanan pengundian lancar, dalam keadaan yang tidak sesak dan sangat baik dengan pelaksanaan SOP seperti disarankan Kementerian Kesihatan. Saya menggalakan pengundi supaya dapat keluar mengundi pada hari ini untuk menunaikan tanggungjawab," katanya.
(Datuk Ramlee Bohani)