(Tiga beradik Muhammad Irfan, Muhammad Zarif dan Muhammad Nabil menunaikan tanggungjawab mengundi)
JOHOR BAHRU, 12 Mac - Berharap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat memastikan kebajikan penduduk dibela, pasangan adik beradik sanggup mengambil cuti dan pulang ke kampung sejauh 300 kilometer dari Kuala Lumpur untuk menunaikan tanggungawab sebagai pengundi pada PRU Dewan Negeri Johor hari ini.
Kehadiran pasangan adik beradik tersebut, Iklil Fatihah dan Iklil Hasya Kamal Redzuan di Pusat Mengundi Dewan Serbaguna Taman Setia Indah di sini bagi Dewan Negeri N41 Puteri Wangsa mencuri tumpuan.
Mereka berdua merupakan antara 4,252 pengundi berdaftar di pusat pengundian berkenaan.
"Kami dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru untuk mengundi, balik kampung bagi menunaikan tanggungjawab. Harapan kepada wakil rakyat yang dipilih nanti dapat menunaikan janji dan mengambil berat isu masyarakat setempat," kata Iklil Fatihah.
(Iklil Fatihah)
"Harapan agar wakil rakyat melaksanakan segala usaha sepadan dan seperti yang diinginkan rakyat. Tidak melakukan apa yang tidak disukai rakyat," menurut Iklil Hasya.
(Iklil Hasya)
Sementara itu, di Simpang Jeram, kehadiran tiga beradik turut mencuri tumpuan ketika hadir mengundi di Pusat Mengundi SJKC Pei Chai, pagi tadi.
Muhammad Zarif, 25, Muhammad Nabil, 22 dan Muhammad Irfan Samsudin, 20 teruja diberi peluang mengundi buat pertama kali.
Harapan mereka agar calon dapat membawa perubahan kepada kawasan N13 Simpang Jeram.
"Saya rasa sangat terujalah sebab ini pertama kali saya mengundi sebab lima tahun lepas baru berumur 20 tahun jadi tidak boleh mengundi lagi. Rasa bangga dapat mengundi, pagi lagi dah bangun untuk menunaikan tanggungjawab," kata Muhammad Zarif.
"Perasaan saya gementar tetapi dalam masa sama gembira sebab ini pertama kali mengundi demi masa depan kecemerlangan Johor. Kita buat pilihan terbaik," menurut Muhammad Nabil.
"Ini pertama kali dan perasaan ingin tahu bagaimana mengundi itu membuatkan saya rasa teruja. Gembira kerana kita diberi peluang untuk menentukan masa depan negara," jelas Muhammad Irfan.