fb fb fb fb fb

29% keluar mengundi setakat 12 tengah hari

JOHOR BAHRU, 12 Mac - Proses pengundian bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15 di 1,021 Pusat Mengundi berjalan lancar setakat tengah hari ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 29% pengundi telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka setakat pukul 12.00 tengah hari.

Sementara itu, para pengundi di Johor dilihat mula hadir ke pusat-pusat pengundian lebih awal bagi menunaikan tanggungjawab.

Seawal 7.00 pagi lagi mereka sudah mula beratur sebelum pusat pengundian dibuka tepat 8.00 pagi.

Calon BN N55 Pekan Nanas, Datuk Tan Eng Meng dilihat hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mohd Yunos Sulaiman pada pukul 7.45 pagi.

Beliau menunaikan tanggungjawab mengundi pada pukul 8.05 pagi dan selesai pada pukul 8.15 pagi.

Terdapat 35,865 daftar pemilih di Dewan Negeri Pekan Nanas.

Manakala Dr. Sahruddin Jamal yang juga calon PN N07 Bukit Kepong pula sudah berada di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lenga, Pagoh seawal pukul 8.12 pagi tadi.

Selepas melaksanakan tanggungjawabnya, beliau dilihat meninggalkan pusat mengundi itu pada pukul 8.19 pagi.

Proses sanitasi dilakukan setiap dua jam sekali bagi memudahkan kelancaran proses mengundi di pusat mengundi berkenaan.

Di N40, Tiram, seramai 105,694 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab menentukan wakil rakyat dewan negeri tersebut. Daripada jumlah itu, 10,613 adalah pengundi pertama kali dan 18 tahun.

Calon BN Tiram, Azizol Bachok dilihat tiba bersama isteri dan ibunya pada pukul 8.00 pagi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh.

Seramai 6,564 pengundi bakal mengundi di pusat mengundi tersebut.

Calon BN N49 Kota Iskandar, Pandak Ahmad pula tiba untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Melayu pada pukul 8.40 minit pagi.

Beliau hadir bersama isterinya Rosmah Saim serta bapa dan ibunya Ahmad Talib 95 tahun dan Khadijah Jambi berusia 85 tahun. SK Sungai Melayu mempunyai 3 saluran mengundi.

Sementara itu, di Dewan Negeri N08 Bukit Pasir, calon BN, Mohamad Fazli Mohamad Salleh tiba pada pukul 8.40 pagi tadi bersama-sama ibu beliau, Fuzieh Saadon, 60 tahun, bagi mengundi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Jorak.

Beliau selesai mengundi pada pukul 9.05 minit pagi tadi. Terdapat 32,213 daftar pemilih di Dewan Negeri Bukit Pasir .

Calon BN di N03 Pemanis, Anuar Abd Manap pula tiba di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Felda Pemanis Dua pada kira-kira pukul 9.30 minit pagi bagi menunaikan tanggungjawab memilih.

Di N14 Bukit Naning, calon PN, Mahadzir Abu Said mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Naning pada pukul 8.30 minit pagi tadi.

Manakala, Calon PKR, Md Ysahrudin Kusni turut mengundi di Pusat Mengundi yang sama.

SK Bukit Naning mempunyai 5 saluran mengundi.

Di N28 Mengkibol pula, calon BN, Kelly Chye Pei Yee tiba pada pukul 8.30 pagi untuk mengundi di pusat mengundi Kolej Vokasional Kluang.

Sementara itu, calon BN N53 Benut, Datuk Hasni Mohammad pula dijadual mengundi pada pukul dua petang ini.

Beliau bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Raja.

Pusat mengundi ini terletak dalam Dewan Negeri N55 Pekan Nanas.

Pada sebelah pagi tadi beliau sempat meninjau di sekitar kawasan Benut bagi melihat sendiri proses perjalanan Hari Mengundi.

Media Baharu