fb fb fb fb fb

PRU Dewan Negeri Johor: Patuhi SOP, pastikan tiada penularan COVID-19

JOHOR BAHRU, 26 Februari - Tempoh dua minggu merupakan cabaran kepada semua yang terlibat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor, memastikan tiada penularan COVID-19.

Sepanjang tempoh itu juga, peraturan-peraturan yang telah ditetapkan wajib dipatuhi.

Meski Prosedur Operasi Standard (SOP) dilonggarkan pada PRU Dewan Negeri Johor, namun ia bukan tiket kepada parti-parti bertanding mengabaikan peraturan.

Aktiviti kempen yang lebih fleksibel memberi gambaran bahawa lebih banyak kontak fizikal akan berlaku.

Justeru, SOP yang telah ditetapkan itu bukan sahaja wajib dipatuhi tetapi perlu menjadi amalan sehingga kemuncak 12 Mac depan.

Di Melaka sebelum ini, semua aktiviti kempen berlangsung secara dalam talian manakala di Sarawak, aktiviti ceramah, kempen dan syarahan dibenarkan di lokasi yang hanya mempunyai capaian internet rendah.

"Macam Johor dibenarkan tetapi dengan had seperti ceramah, kempen dan syarahan dibenarkan dengan kapasiti 100 orang termasuk penganjur, urus setia. Pihak penganjur perlu mendapatkan permit polis dan dalam permit perlu dinyatakan tarikh, masa dan tempat supaya pihak polis dan agensi penguat kuasa dapat melaksanakan pemantauan di lokasi penganjuran ceramah," kata Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara, MKN, Nur Hafifah Halim kepada RTM.

(Penolong Pengarah MKN, Nur Hafifah Halim)

Antara peraturan lain, lima individu sahaja dibenarkan semasa kempen ziarah ke rumah namun perlu diingat, mereka terlibat dilarang masuk ke rumah dan edaran risalah hanya di luar pagar.

Bagi Ketua Pegawai Kesihatan Persekutuan Negeri Johor, Kayrul Hidayah Mansor cabaran besar sudah pasti terarah kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab memastikan tiada penularan dalam komuniti.

"Menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk jentera parti pilihan raya yang bertanding serta pengundi mematuhi dan mengamalkan norma baharu. Setiap individu yang terlibat secara langsung ataupun tidak perlu jujur dalam mengisytiharkan kesihatan mereka," katanya.

(Ketua Pegawai Kesihatan Persekutuan Negeri Johor, Kayrul Hidayah Mansor)

SOP yang diperkenalkan pada PRU Dewan Negeri Johor adalah bagi menjamin keselamatan dan kesihatan semua pihak. Ini sekali gus memastikan sistem demokrasi terus subur dan kehidupan kembali kepada normal dengan amalan norma baharu.

Laporan Norazizah Drahman

Media Baharu