fb fb fb fb fb

PRU Dewan Negeri Johor: Lebih 2.5 juta pengundi tentukan kerajaan baharu esok

JOHOR BAHRU, 11 Mac - Esok adalah hari penentu kepada 239 calon parti-parti politik yang bertanding untuk merebut 56 kerusi Dewan Negeri Johor sebaik sahaja tempoh kempen berakhir pada 11.59 malam ini.

Parti apa yang bakal membentuk kerajaan baharu Johor, semuanya terserah kepada 2.539 juta pengundi termasuk 750,000 pengundi pertama kali yang berusia 18 tahun.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali PRU Dewan Negeri Johor ke-15 esok merupakan sejarah baharu kepada landskap politik negara.

(Dr Mazlan Ali/UTM)

Ini kerana, ia perintis kepada pelaksanaan UNDI 18 dan menjadi indikasi kepada siri pilihan raya di negeri lain selepas ini.

"Jumlah pengundi baharu 750,000 cukup signifikan untuk mengubah landskap politik Johor, ini sekiranya mereka menyertai proses demokrasi dengan sekurang-kurangnya 80% keluar mengundi," katanya kepada Wartawan RTM, Taufik Salimin.

Menurut Mazlan, dalam sains politik, pengundi di Malaysia terbahagi kepada tiga kelompok.

Ia adalah 'Subjek' diertikan sebagai pengundi setia, 'Parokial' kumpulan yang boleh dipengaruhi dengan manfaat tertentu dan 'Partisipan' terdiri daripada golongan berpendidikan yang memilih mengikut prestasi parti.

"Parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), ini parti dianggap pilihan tetapi tidak boleh juga ketepikan parti-parti lain kerana pengundi atas pagar dan muda, mereka tidak semestinya akur atau setia kepada parti tertentu.

"Sebaliknya mengukur daripada sudut prestasi, jika baharu tetapi membawa inspirasi diingini pengundi mungkin akan dipilih," menurutnya.

Justeru, personaliti calon menjadi elemen terpenting dalam menentukan kemenangan parti, selain populariti mereka.

Secara keseluruhan, tempoh 14 hari berkempen dimanfaat sebaiknya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat cemerlang memastikan perjalanan kempen semua calon bertanding bebas dari sebarang provokasi.

"Saya lihat peluang diberi secara adil untuk bertanding dan mendapat sokongan rakyat, SPR cemerlang dan dalam suasana COVID-19 nampak SPR membuat keputusan betul dan baik," kata Mazlan.

Laporan Taufik Salimin.

Media Baharu