fb fb fb fb fb

PRU Dewan Negeri Johor: 10,988 anggota polis pantau pengundian esok

(Datuk Kamarul Zaman Mamat)

BATU PAHAT, 11 Mac - Pengundi tidak perlu risau untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengundi esok kerana keselamatan mereka dijamin polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata seramai 10,988 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan di 1,021 pusat mengundi dan 4,637 saluran bagi melancarkan proses hari mengundi.

Tambahnya, seramai 112 Pasukan Cantas sudah mula mengawal semua pusat mengundi bagi memastikan proses Hari Mengundi lancar.

"Maklumat diperoleh daripada pasukan polis terdapat 17 tempat dikatakan panas, walau bagaimanapun pihak polis bersama pasukan khas termasuk pasukan cantas sudah mengenal pasti mereka dan sudah memberi nasihat supaya tidak memberikan masalah semasa pengundian," katanya kepada RTM, di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor turut bersiap siaga dari segi fasiliti dan petugas untuk hari pengundian esok.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Perkembangan Kesihatan Negeri, Dr Shamsul Maali sebanyak 2,040 petugas kesihatan akan diletakkan di pusat-pusat mengundi.

Manakala 112 orang petugas kesihatan ditempatkan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi dan 248 pegawai penguatkuasa terdiri daripada petugas Jabatan Kesihatan dan Kementarian Kesihatan turut diturunkan untuk memantau berkaitan Akta 342.

(Dr Shamsul Maali)

Khemah, ruang dan bilik khas juga disediakan bagi mengendalikan pengundi bergejala.

"Kita telah tempatkan seramai 2,040 petugas kesihatan yang akan bertugas di pusat-pusat mengundi dan juga 112 orang petugas kesihatan yang akan ditempatkan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi dan 248 pegawai penguatkuasa terdiri daripada petugas Jabatan Kesihatan dan Kementerian Kesihatan diturunkan untuk memantau berkaitan Akta 342," katanya kepada RTM.

Media Baharu