(Shahrihan mengunjungi balu kepada bekas Ketua Cawangan UMNO Sungai Baru)
JOHOR BAHRU, 2 Mac - Memasuki hari kelima kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor, strategi terus disusun semua parti bertanding mempamerkan gerak kerja parti dan calon.
Selain aktiviti menyantuni penduduk secara bersemuka, ada juga yang lebih selesa memilih untuk berkempen menggunakan platform media sosial.
Bagi calon Barisan Nasional (BN) Dewan Negeri Gambir, Shahrihan Jani kempen bersemuka tetap menjadi pilihan.
Meski dilaksana dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) mengekang penularan COVID-19, ia bukan penghalang untuk beliau lebih dekat menyelami permasalahan rakyat.
"Saya lebih suka bersemuka sebab boleh berjumpa terus dengan pengundi bagi menyelami permasalahan mereka. Sekurang-kurangnya dengan kempen bersemuka ini kita cuba jalankan dan mematuhi SOP untuk membolehkan saya berjumpa dengan pengundi," kata Shahrihan yang ditemui ketika mengunjungi rumah balu kepada bekas Ketua Cawangan UMNO Sungai Baru.
Selain kempen secara fizikal, platform media sosial turut dimanfaat para calon.
Di aplikasi Tik Tok misalnya calon BN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dilihat aktif menyantuhi komuniti setempat untuk pelbagai perkongsian termasuk mendengar masalah pengundi.
(Mohd Hairi memanfaatkan platform Tik Tok dalam aktiviti kempen pada PRU Dewan Negeri Johor)
Bagi calon BN Larkin, Mohd Hairi Mad Shah tinjauan mesra berlangsung sekitar pasar malam bagi bertemu peniaga kecil dan peluang bertentang mata dengan pengundi.
(Mohamed Ridza menyantuni penduduk setempat)
Turut menggunakan kaedah sama calon Warisan Permas, Mohamed Ridza Busu. Beliau secara santai menemui penduduk dengan membawa mesej dan visi peribadinya.