(Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin)
JOHOR BAHRU, 2 Mac - Perikatan Nasional (PN) komited melunaskan lapan ikrar yang ditawarkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mandat yang bakal diberikan rakyat Johor kelak akan digunakan untuk mempercepat pemulihan ekonomi negeri.
Lapan tunjang utama itu meliputi kepemimpinan berintegriti dan bebas, keutuhan ekonomi Johor dan keutamaan tangani kos sara hidup.
Selain keprihatinan kepada rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.
(Muhyiddin pada sidang media pelancaran Ikrar PN di Johor Bahru)
Menurut Muhyiddin, jawatankuasa bebas dan profesional terdiri daripada anak Johor akan diwujudkan bagi memastikan ikrar itu dilaksana dari tempoh 100 hari hingga 5 tahun sekiranya diberi mandat menerajui Johor.
"PN tidak mahu berikrar dan kemudian tidak menunaikan apa yang dijanjikan. Kita bentuk satu jawatankuasa khas untuk memantau supaya semua ikrar itu ditunaikan, tidak seperti sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang hanya menunaikan janji tertentu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ikrar PN "Demi Bangsa Johor", di sini hari ini.