fb fb fb fb fb

PRU Dewan Negeri Johor ke-15: Anggaran kos RM96 juta

JOHOR BAHRU, 9 Februari- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan kos pelaksanaan PRU Dewan Negeri Johor ke-15 mencecah RM96 juta.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata seramai 49,290 petugas akan dilantik bagi mengendalikan pilihan raya itu yang membabitkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Secara keseluruhannya jumlah pusat mengundi sebanyak 1,084 buah dengan 4,720 saluran. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,021 pusat mengundi yang mempunyai 4,638 saluran akan digunakan bagi undi biasa, manakala 63 pusat mempunyai 82 saluran turut akan digunakan bagi undi awal.

"Sebanyak 56 pusat penamaan calon dan 56 pusat penjumlahan rasmi undi turut akan digunakan," katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, SPR turut melantik 58 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu 186 Penolong Pegawai Pengurus.

"Bagi memantau semua aktiviti sepanjang tempoh berkempen, SPR juga menubuhkan 56 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang dianggotai wakil daripada polis, pihak berkuasa tempatan ( PBT) dan wakil calon," katanya.

Ujarnya lagi, satu prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan PRU Dewan Negeri Johor ke-15 sedang dikemaskini SPR, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara ( MKN).

"SOP ini akan dimaklumkan selepas ia dimuktamadkan," kata Abdul Ghani.

SPR menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRU Dewan Negeri Johor ke-15.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

Media Baharu