fb fb fb fb fb

PRN SABAH : Peti undi dari beberapa kawasan tiba di pusat penjumlahan

Dua peti undi terawal, tiba di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi Dewan Serba guna Majlis Daerah Nabawan

KOTA KINABALU, 29 November - Proses penghantaran peti undi bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 di Sabah berjalan lancar dengan ketibaan beberapa peti undi di pusat penjumlahan rasmi.

Di Nabawan, dua peti undi terawal tiba di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Serba Guna Majlis Daerah Nabawan.

Peti undi pertama dari Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.46 Nabawan tiba pada pukul 12.40 tengah hari, diikuti peti undi kedua dari SK Mamagun pada pukul 1.05 tengah hari. Kedua-dua pusat mengundi ini ditutup pada pukul 12.00 tengah hari.

Di Semporna, peti undi dari SK Pulau Denawan bagi DUN N.64 Sulabayan dibawa menaiki helikopter dari pulau berkenaan dan mendarat di Padang Bandaran Daerah Semporna pada pukul 1.17 tengah hari. Peti undi tersebut kemudiannya terus dibawa ke Dewan Arena Masyarakat Semporna untuk proses penjumlahan rasmi.

Manakala di Ranau, peti undi dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) Longut dan PDM Tiang dalam kawasan DUN N.38 Paginatan tiba di Dewan Masyarakat Ranau pada pukul 1.23 petang.

Kesemua peti undi dikawal rapi oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang perjalanan bagi memastikan ketelusan dan keselamatan proses pengiraan undi.

SPR juga adakan lintas langsung pengiraan di laman Facebook Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia - SPR.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE