SAMARAHAN, 29 November - Polis menerima beberapa laporan berkaitan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, namun semuanya melibatkan kes kategori kecil dan tidak menjejaskan kelancaran proses pilihan raya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, berkata aduan yang diterima antaranya melibatkan tindakan menurunkan lambang parti serta ucapan ketika ceramah politik. Menurut beliau, setiap laporan akan diteliti mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Setakat pukul 12 tengah malam tadi, tiada insiden besar dilaporkan yang boleh mengganggu perjalanan keseluruhan proses pengundian, manakala aspek keselamatan di peringkat penamaan calon, kempen dan hari mengundi kekal terkawal.
“Bila satu proses pilihan raya itu berlaku, tanggungjawab memastikan keselamatan terjamin itu sangat penting dan saya ingin merakamkan penghargaan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah dan seluruh anggota yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Kampung Angkat MADANI Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di Kota Samarahan, Sarawak.
Bagi memastikan tahap keselamatan berada pada paras optimum, seramai 10,000 anggota polis ditugaskan di seluruh Sabah, termasuk penambahan anggota dari Sarawak sebagai sokongan kepada kekuatan sedia ada, merangkumi kawalan lokasi tumpuan dan pusat pengundian sepanjang tempoh PRN.