PENAMPANG, 25 November - Semua pihak diingatkan agar tidak menggunakan isu 3R dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menegaskan kempen berasaskan 3R merupakan amalan yang boleh merosakkan perpaduan dan tidak mencerminkan budaya demokrasi matang.
"Kita sangat risau dengan sebarang aktiviti berkempen yang berasaskan isu 3R. Ini tidak dibenarkan. Berkempenlah dengan sihat, gunakan hujah dengan cerdik dan cerdas, dan sudah pasti kita tidak mahu tindakan yang merosakkan keharmonian dan perpaduan masyarakat.
"Jangan gunakan 3R, ia hanya senjata yang makan tuan. Ia adalah strategi yang memenangkan diri sendiri. Ia tidak baik bagi negara dan demokrasi," katanya pada sidang media di Penampang.
Setakat ini, tiga aduan telah direkodkan sepanjang PRN, namun tiada pengesahan sama ada mana-mana aduan tersebut berkait langsung dengan isu 3R.
Siasatan awal menunjukkan aduan diterima merangkumi pelbagai kesalahan di bawah undang-undang sedia ada, termasuk penyebaran maklumat tidak sah atau mengelirukan.
Pihak kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersedia menghulurkan bantuan teknikal yang diperlukan pihak PDRM bagi kes-kes berkaitan.