fb fb fb fb fb

PRK Sungai Bakap: Persiapan akhir berjalan lancar-Ikmalrudin

Foto RTM

SUNGAI BAKAP, 5 Julai-Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan segala persiapan menjelang hari pengundian PRK Sungai Bakap esok di tahap maksimum dan berjalan lancar.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata semua ketua tempat mengundi serta petugas keselamatan telah diberikan taklimat berkaitan bagi memastikan kelancaran proses hari pengundian.

Menurut Ikmalrudin, lebih 500 petugas dijangka terlibat pada hari pengundian esok.

"Setiap semakan yang dilakukan hari ini adalah bagi memastikan kesemua kelengkapan mengundi mencukupi termasuklah peralatan seperti peti undi, dakwat, kertas undi dan juga peralatan-peralatan melibatkan persiapan logistik", kata ikmalrudin demikian selepas
meninjau persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi di sini.

Kesemua sembilan pusat mengundi dengan 65 saluran akan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 6 petang melibatkan 39,222 pengundi berdaftar.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Dalam pada itu, Ikmalrudin memaklumkan, tiada sebarang petisyen diterima berkaitan kesalahan sepanjang PRK DUN Sungai Bakap daripada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Cuma kesalahan-kesalahan yang biasa, kecil melibatkan seperti poster diletakkan di tempat tidak sepatutnya itu sahaja.Tidak timbul isu besar.

"Saya ucapkan terima kasih kepada para penyokong parti yang mematuhi peraturan perjalanan pilihan raya kali ini", kata Ikmalrudin.

Ikmalrudin turut menasihati pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengikut masa yang ditetapkan.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD