fb fb fb fb fb

800 anggota dan pegawai polis bertugas pada hari pengundian PRK Sungai Bakap esok

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad

NIBONG TEBAL, 5 Julai- Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keselamatan 39,279 pengundi Pilihan Raya Kecil PRK N.20 Sungai Bakap esok akan selamat dan berjalan lancar. 

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata pihaknya telah melakukan persiapan rapi dari segi penempatan anggota bertugas, keselamatan pusat mengundi dan keselamatan jalan raya.

"Seramai 800 pegawai dan anggota polis telah diamanahkan untuk bertugas esok termasuk menjaga ketenteraman awam, kelancaran lalu lintas dan keselamatan pusat pengundian.

"Justeru, saya menyeru pengundi berdaftar di Sungai Bakap untuk keluar mengundi esok dalam keadaan dan perasaan yang aman damai, tanpa rasa bimbang dan ganggu gugat keselamatan,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena PRK di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.  

Parti politik bertanding perlu mematuhi peraturan pilihan raya sepanjang hari pengundian termasuk larangan sambutan kemenangan besar-besaran selepas keputusan PRK diumumkan.

Tambah beliau, sebanyak lima laporan polis berkaitan PRK direkod sepanjang tempoh berkempen dan kesemuanya masih dalam siasatan.

Manakala 181 permit kempen dan ceramah telah dipohon kedua-dua parti bertanding dan kesemuanya telah diluluskan.

Sementara itu, Datuk Hamzah memaklumkan, kertas siasatan berhubung kes seorang petugas kempen PRK Sungai Bakap yang berkelakukan tidak senonoh terhadap seorang wartawan wanita kini sedang disiapkan. 

Beliau berkata, setakat ini tiga individu telah diambil keterangan dan akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan susulan.

Lelaki berusia 30-an itu masih direman selama dua hari namun siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk akan membuat kawad cam hari ini.

Barangan peribadi suspek turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan/14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu mengaibkan kehormatan seseorang dengan menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat atau menunjukan apa-apa benda.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE