fb fb fb fb fb

PRK Nenggiri: UMNO akan guna lambang BN

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

JELI, 5 Julai - Barisan Nasional (BN) akan menggunakan lambang partinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan akan datang.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berikutan penduduk di DUN tersebut telah serasi dengan lambang parti berkenaan.

"Daripada segi hukum akal dan atas kertas Insha-Allah kita akan dapat rampas semula, saya beritahu bahawa kekurangan kita hanyalah 810 undi dan ketika itu situasinya berbeza, kini situasi politik di Nenggiri dan Gua Musang juga telah berbeza dan Insha-Allah kita mohon Allah SWT dibuka hati pengundi pengundi Nenggiri untuk beri dokongan kepada calon Barisan Nasional pada kali ini," kata Zahid.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli 2024 di Pejabat UMNO Bahagian Jeli, Bukit Nangka, di sini.

Dalam pada itu katanya, UMNO juga telah menyenarai pendek senarai nama bagi calon PRK DUN Nenggiri dan dijangka akan dimuktamadkan pada minggu depan.

Senarai tersebut telah diserah kepada beliau oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah melalui sepucuk surat.

Calon yang bakal dipilih mesti mempunyai elemen 'WALI' iaitu merujuk kepada boleh Menang (winnable), Diterima (Acceptable) dan disukai (Likeable).

Dalam perkembangan lain, mengulas berkenaan Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang mengesahkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, bekas ahli UMNO bebas untuk menyertai mana-mana parti pilihan mereka.

"Mana mana ahli UMNO yang telah dipecat bebas untuk mereka masuk parti-parti mana yang mereka sukai itu pilihan mereka," katanya.

TETITIA YUSOFF