GEORGETOWN, 25 Jun-Pensyarah Sosiologi Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata para pengundi PRK Sungai Bakap perlu berfikir secara rasional untuk memilih calon yang benar-benar layak membawa Sungai Bakap melalui pembaharuan dan proses pemodenan yang berterusan.
Jelasnya, sikap emosional keterlaluan bakal merugikan pengundi di kawasan berkenaan.
"Yang penting di sini keputusan disitu mestilah rasional praktikal dan bukannya bersifat emosional dan mereka harus melihat kehadapan supaya Sungai Bakap boleh dikembangkan dengan pembaharuan dan juga proses pemodenan secara berterusan", ujarnya demikian selepas ditemubual di Konti MUTIARAfm di sini.
Dalam pada itu, Sivamurugan turut menggesa kedua-dua calon agar lebih fokus memandangkan mereka mempunyai kelebihan memahami politik setempat dalam memenangi undi terutamanya pengundi atas pagar.
"Kita harus melihat mereka yang dianggap menjadi pengundi di atas pagar yang barangkali belum buat keputusan barangkali akan melihat kepada pelbagai perkara sebelum memutuskan bagaimana untuk memangkah pada 6 Julai nanti", katanya.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.