SUNGAI BAKAP, 26 Jun-Jentera Parti Amanah Negara (AMANAH) diarahkan untuk menumpukan kempen di daerah mengundi Sungai Duri bagi meraih sokongan pengundi buat calon Pakatan Harapan (PH),Dr. Joohari Ariffin.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata parti itu telah dimaklumkan oleh pimpinan Pakatan Harapan bagi merayu undi dari rumah ke rumah, selain menjalankan kempen serta ceramah kelompok dan aktiviti bersama masyarakat.
"Jentera Amanah tumpu di Sungai Duri. Arahan di situ. Rumah ke rumah,ceramah kelompok dan taklimat masyarakat di buat di sana lebih banyak", katanya demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Masak Menu Sihat Citarasa Peladang @ PPK Tasek bertempat di Dewan MPKK Tasek Cempedak, Simpang Ampat.
Turut hadir, calon PH, Dr Joohari Ariffin pada program berkenaan.
Sementara itu, Mohamad Sabu enggan membuat ramalan berhubung keputusan PRK Dewan Undang N.20 Sungai Bakap memandangkan kempen baru sahaja memasuki hari kelima.
Namun, beliau melihat keputusan positif memandangkan maklum balas yang baik dan sokongan orang ramai kepada Dr Joohari.
Mohamad turut berharap para pengundi dapat memilih calon yang tepat malahan keluar beramai-ramai bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada 6 Julai nanti.