NIBONG TEBAL, 6 Julai- Tanggungjawab kepada negara.
Demikian reaksi yang dinyatakan penduduk N20 Sungai Bakap, walaupun sebahagian yang keluar mengundi mempunyai masalah kesihatan.
Tinjauan RTM mendapati, ada warga emas berkerusi roda masuk sendirian ke Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil untuk melunaskan tanggungjawab sebagai pengundi.
Biarpun agak sukar, namun mereka bersemangat untuk memilih calon yang dirasa sesuai meneraju Sungai Bakap.
Amanah satu undi itu juga penting dan mampu membawa perubahan kepada kawasan itu.
"Itu kita anggap macam amanah besar pada kita. Siapa menang, apa pun tak kisah, asal jadi elok", kata pengundi di Sungai Bakap, Zalimah Ishak.
"Ya, itu memang tanggungjawab saya sebagai Rakyat Malaysia", kata pengundi Mohd Yusri Abdul Rahman.
"Ini tanggungjawab saya kepada negara... tidak susah, senang sahaja", ujar Abdul Hajal Marjuki.
N20 Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan Calon Perikatan Nasional (PN), Abiddin Ismail.
Terdapat seramai 39,151 pengundi berdaftar di N20 Sungai Bakap.